Wednesday, August 14, 2013

Selamat Hari Raya 2013






Assalamualaikum,

  Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin buat semua. Raya tahun ni merupakan raya kali pertama kami sekeluarga menyambutnya tanpa ibu tersayang. Memang terasa sedih juga almaklumlah dah terbiasa dengan suara Aruah mak yang membebel dan bersuara jika ada yang kami anak-anaknya lambat atau buat sesuatu yang tidak menepati citarasanya. Walaupun di akhir hayatnya Aruah mak memang dah uzur namun arahan suaranya tetap berkumandang namun pada kali ini terasa sunyinya tanpa suara Aruah mak yang menyuruh kami membuat semua kerja rumah. Nasib baik lah semua adik beradik terutamanya arahan dari akak aku yang sulong supaya tetap balik  muar pada raya pertama, jadi tidaklah sunyi sangat. Petang raya semua adik beradik balik sambil menziarahi pusara aruah Mak dan Bapak. Sempat lagi selepas solat magrib Abang ipar aku yang sulong yang mengetuai majlis tahlil yang hanya di hadiri oleh semua ahli keluarga sahaja. Adik beradik aku kan ramai apa lagi anak saudara semuanya dah besar-besar malahan cucu saudara aku pun dah semakin bertambah sampaikan aku dah lupa dah berapa orang cucu saudara yang aku dah ada. hehehehe camtu punya ramai beb.

 Oleh kerana tahun ni raya jatuh pada hari Khamis acara marhaban yang bermula pada raya kedua dan kebetulan pula hari jumaat telah menyebabkan terpaksa di bahagi 2 rumah dimana sebahagian waktu raya pertama dan sebahagian raya ke2 dan kali ni turn rumah aruah mak acara marhaban diadakan pada raya pertama dan sebelah malam. Kata akak aku sepanjang hidup dia tak pernah marhaban diadakan pada waktu malam tapi kali ini pulaknya dan giliran rumah aruah mak pulak tu. Memang acara marhaban pihak lelaki setiap tahun diadakan yang bermula raya ke2 dan ke3. Dan oleh kerana ahli penduduknya semakin bertambah dah menjadi 3 hari acara marhaban. Oleh kerana hari pertama aku syorkan pada kak ambah kita buat jemput-jemput ikan bilis je ke jemput-jemput bawang je. Keluarkan sikit kuih dah beres. Daripada nak masak atau goreng mee ke apa ke lecehlah sebab raya pertama ketupat masih banyak lagi. Selesai majlis tahlil adik beradik aku, tak lama kemudian orang yang nak marhaban pun datang. Kita orang keluarkan kuih raya juga huh tak luak pun. Nasib baik jemput-jemputnya laku malahan ada emm anak sapa tah... kata akak aku siap nak tapau. Akak aku terus je bagi plastik suruh tapau. Ya lah kan dah sebulan berpuasa tentu ada yang dah rindu nasi lemak lah roti canai lah apa lagi jemput-jemput yang dah sah-sah masa puasa tak buat punya. Cecah pulak dengan cili sos emmmm walah...

 Yang meriahnya masa acara marhaban berlangsung ada pulak anak buah aku dari Parit sulong yang bawak mercun. hah ko dum dam dum dam bunyi mercun pun berkumandang. Opss bukan mercun bunga api. Entah dari mana lah si Joe dapat bunga api tersebut. Dah macam acara menyambut merdeka pulaknya bunga api tu zup zap zup zap memancarkan cahaya dan bunyi. Lepas tu berlawan pulak rumah kat taman depan tu pun tak mahu kalah. Depa pun bakar juga mercun. Emmm  terang benderang cuaca di langit Bakri Batu 6 di terangi bunyi dan kilauan mercun dan bunga api.  

 Raya kali ni aku di timpa tragedi maka relax habis lah sebab masa petang raya jari dah masuk mesin kelapa. huhuhuhu hancur kuku beb. Susut nilai aku hahahaha. Dek kerana nak membuat lepat pulut hah ko jari masuk mesin. Masa tu aku nak parut kelapa muda nak dicampurkan dengan pulut. Selalunya lepat pulut ni aruah mak aku yang buat. Aku cuma tolong cari kelapa muda, parut kelapa dan tolong mengikatnya. Lepat pulut ni yang selalu menjadi kesukaan ialah adik aku Faizol dengan keluarga belah isterinya serta keluarga Kak Lela. Bahannya tak susah cuma nak mengikatnya je yang nak kena pandai. Oleh kerana selalunya aku yang menolong aruah mak membuatnya, jadi tahulah sikit cara nak membuatnya. Bila tanya adik aku jol nak buat ke tak lepat pulut, dia kata nak, jadi kenalah buat juga. Pulut pun dia dah belikan. Dan semasa sedang memesin kelapa entah macamana aku terkucil zap jari kena mesin. Adududu apa lagi hancur kuku 2 jari telunjuk dan tengah. Darah jangan cakap lah menjejes2. Adik aku Faizol terus bawa aku ke klinik. Doktor pun bagi injektion kat kedua jari tersebut dan buang kuku-kuku yang dah hancur tu supaya kuku baru boleh tumbuh. Masa cucuk ubat bius aduh memang sakit tapi bila ubat bius tu dah mula aktif memang masa Doktor cabut kuku jari tu tak rasa apa. Lepas dibersihkan dan dicuci Nurse pun balut kedua jari tersebut. Dapat anti biotik, injection tetanus, ubat tahan sakit. Balik rumah agenda nak buat lepat pulut diteruskan juga tapi adik aku faizol yang ambil alih. Kelapa yang dah separuh aku parut di buang dan ganti kelapa baru. Lepas tu aku gaul dengan pulut yang dah di tos. Dah siap semua serta rasa masinnya aku pun tunjuklah macamana nak mengikatnya. Orang lelaki kan hah ko dibuatnya lepat tu besar-besar dan padat. Alhamdulillah akhirnya jadi juga lepat pulut yang adik aku nak. Dah boleh passing baton ni sebab dia dah pandai mengikat lepat tersebut.

 Jadi kali ni aku memang tak tolong sangatlah bab masak memasak kat dapur. Nak makan pun susah, apa lagi nak menolong sebab kena tangan kanan. Huhuhu apa lah punya nasib diri kali ini. Nasib baik lah kerja gunakan pc jadi takle susah sangat kalau nak menulis tapi ngilu juga lah bila terkena hujung jari. Apa pun lepas ni kalau nak parut kelapa huhuhu aku kena paksa adik-adik lelaki aku yang buatkan. Fobia beb.

 Apapun yang terjadi aku redha. Jadi buat semua orang perempuan yang sibuk di dapur pada musim raya berhati-hatilah ya bila memasak. Jangan jadi seperti aku, jari masuk mesin parut kelapa. Dah berbalut jari pulaknya. Bila posing rupanya 2 jari tu selalu aku gunakan gaya peace. Jadi kali ini peace juga ler walaupun berbalut putih. adehaiiii          


Wednesday, July 31, 2013

Tazkirah - Ustaz mohd Izhar Arif (Tanyalah ustaz TV9)


                                                             Ini lah Ustaz Mohd Izhar Arif


Assalamualaikum,

 Oleh kerana kita masih lagi di bulan yang mulia bulan Ramadan dan hampir sampai ke penghujungnya jadi nak kongsi lah sedikit  semasa mendengar ceramah Bicara rohani dulu. Semuga sama-samalah kita jadikan pedoman hidup. Bicara Rohani yang diadakan ni adalah pada 29hb March 2013 yang dah berkurun dah aku dengar. Tapi nak juga aku cerita sebab banyak info yang baik yang boleh kita sama-sama jadikan amalan. 

 Oleh kerana KKM sekarang sedang berkempen budaya cemerlang dan tajuk bertimbang rasa dalam hubungan sesama manusia ni adalah salah satu komponen dalam budaya cemerlang KKM. Memang amat bagus lah tajuk tersebut dan ustaz berceramah merupakan pensyarah dari UKM yang juga merupakan panel penceramah Forum Perdana di TV 1, Tanyalah Ustaz di Tv 9 dan Al kuliyah di Tv3.


  Ustaz menerangkan ada beberapa perkara yang amat di galakkan dalam Islam malahan ianya amat di tuntut dalam Islam. Malahan Nabi Muhamad SAW juga ada menyebut namun ianya nampak mudah tetapi betapa sukarnya untuk dilaksanakan umpamanya Isytifar sebanyak 70 kali. Ianya amat mudah tapi kalau kita renungkan pada diri sendiri bila masa kita berisytifar kepada Allah? Jadi hendaklah pada setiap hari kita berisytifar kepada Allah.

Ustaz menekankan dalam hubungan sesama Islam terdapat 3 hubungan iaitu:-
1.       Hubungan dengan Allah SWT
2.       Hubungan dengan manusia
3.       Hubungan dengan alam

1)Hubungan dengan Allah SWT

a.       Islam agama persaudaraan.
                                 i.            Beriman dan bertakwa
Betapa ramainya manusia yang beriman tetapi kurangnya yang bertakwa iaitu takut kepada Allah. Jika takut kepada Allah kenapa maksiat begitu berleluasa. Malahan Ustaz menceritakan betapa bertambahnya anak tidak sah yang terhasil dari hubungan  perzinaan. Dan angka tersebut semakin tahun semakin bertambah, ini menguatkan lagi betapa manusia beriman tetapi tidak takut kepada Allah dengan melakukan perbuatan maksiat. Jumlah angka yang diperolehi dari pendaftaran menunjukkan angka yang didaftarkan. Kalau data dari pihak polis pula 2 kali ganda  kerana terdapat anak yang dijumpai di tong sampah, di buang dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa umat Islam sekarang banyak yang tidak mengikut syariat Islam. Memang rakyat malaysia kebanyakannya beragama Islam tetapi syariat Islam dan cara hidup Islam tidak di praktikkan lagi. Sebagai contohnya betapa ramainya anak-anak remaja sekarang yang tidak bersolat. Bukan hanya budak-budak malahan mak budak dan bapa budak pun ada juga yang tidak pernah solat. Jadi bagaimana tiang agama hendak dipertegakkan andainya tiang tersebut tidak ada dalam kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Jadi seandainya data anak yang tidak sah semakin bertambah maka didikan di rumahlah yang perlu dipersalahkan kerana tidak menegakkan tiang Agama di setiap rumah.   
                             
                              ii.            Bersatu-padu dan jangan berpecah-belah
Umat Islam hendaklah bersatu-padu menegakkan syiar Islam dan bukannya berpecah-belah hanya kerana menegakkan idea politik yang bukan sahaja merosakkan perpaduan malahan boleh menghancurkan umat Islam itu sendiri.

b)Islam agama berkasih sayang.
               Beriman seseorang itu umpama menyayangi kawan bagaikan menyayangi diri sendiri.

i.                     Janganlah kita terlalu bongkak sehingga tidak memikirkan tentang orang lain
ii.                   Jika sesuatu itu kita tidak suka dan jangan lah kita perbuat kepada orang lain
iii.                  Hidup berjiran saling tolong menolong. 

2. Hubungan sesama manusia
         Ustaz menceritakan mengenai akhlak Nabi Muhammad dimana Rasuluallah berbuat baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada golongan kafir. Ini diceritakan oleh Ustaz dimana seorang perempuan kafir selalu membuat aniaya atau sentiasa membuat kekotoran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi Nabi Muhammad SAW sentiasa sabar dengan kerenah perempuan kafir tersebut. Sehinggalah pada suatu hari Nabi Muhammad SAW merasa hairan kenapa perempuan kafir tersebut tidak lagi mengganggu Nabi Muhamad SAW. Rupanya perempuan kafir tersebut sakit dan Nabi Muhammad SAW menziarahi perempuan tersebut. Akhlak Nabi Muhammad SAW yang baik yang sanggup menziarahi perempuan kafir yang sentiasa menganiaya Nabi telah membuat kan perempuan tersebut terus memeluk Agama Islam disebabkan akhlak Nabi Muhamad SAW yang begitu baik dan terpuji.

i)                    Memberi salam kepada yang beragama Islam
Didalam syurga ada 2 bilik yang umat Islam perlu kejar iaitu
a.       Bilik 1 yang mengandungi cermin dimana didalamnya terdapat bidadari bagi orang lelaki dan bidadara bagi perempuan. Ianya bagi orang yang taat dan bertakwa kepada Allah SWT.
b.      Bilik ke 2 Allah bagi pada mereka yang suka memberi makan kepada orang lain. Buat sekadar yang termampu asalkan memberi makan kepada orang lain. Kalau kita membelanjakan sehingga habis sebanyak RM400, tak sempat habis Allah dah ganti balik apa yang kita belanjakan.Yang ini memang bagus kita jadikan amalan sedikit demi sedikit.

ii)                   Banyak memberi salam
Hukum orang yang memberi salam adalah sunat dan orang yang mendengar wajib menjawab.  Dan mengikut sunah Nabi Muhammad SAW pula memberi salam sambil melihat mata. Tapi bagi yang sesama jantinalah ya kalau berlainan jantina pula dah lain pula. Memberi salam juga bergantung kepada keadaan dan haram para isteri memberi salam jika suami tidak menyukainya. Ni mesti kes cemburu ni.

Waktu yang makruh memberi salam ialah
a.       Azan
b.      Ganggu bilal
c.       Ketika berkhudbah
d.      Ketika membuang air kecil
e.      Ketika membaca Al-Quran

Ustaz juga menegur pada sesetengah yang meletak ringtone ayat Al-Quran dimana seandainya ianya berdering didalam toilet.  

 iii)                 Yang banyak solat malam (tahajud).Jika tidur dan terjaga di tengah malam adalah bagus jika dapat solat tahajud walaupun hanya 2 rakaat.

iv)                 Bersalaman.Bersalaman sesama Islam lagi lama bersalam lagi banyak dosa yang jatuh.

v)                  Menghadiri kenduri.Hendaklah hadir walaupun jika kita berpuasa.

vi)            Saling mendoakan jika bersin.Bersin itu merupakan satu ubat dan jika seseorang itu bersin orang yang mendengar hendaklah menjawabnya.

vii)               Menziarah ketika sakit. Sakit merupakan kifarah diatas segala dosa

 viii)              Memelihara lidah didalam tuturkata.  
                         i. Jangan bercakap perkara yang tiada berfaedah.
                     ii. Jangan suka menambah cerita .
                    iii. Yang banyak bercakap tentang maksiat.
                   iv. Suka berdebat
                   v. Mengumpat dan berhasad dengki
          vi. Jangan buka keaiban orang. Jika kita buka aib orang Allah akan buka aib kita.
      vii) Memaki-hamun. Jangan mengatakan orang anak haram jika tidak kita perlu 4 saksi untuk membenarkan jika tidak kena hukum sebat 40 kali
                      viii) Jangan melaknat orang


 Memberi nasihat yang baik dan nasihat yang membina.
      Ada 3 orang yang pertama sekali yang akan disoal iaitu ulamak, pemimpin dan lelaki yang berpoligami.
Jadi hendaklah bertanya kepada ulamak( tugasnya memberi nasihat kepada pemimpin), meminta kepada pemimpin dan berkawan kepada orang yang memberi nasihat.

    Ustaz juga menasihatkan supaya menjaga aurat  dan Insya Allah Allah akan memberi rezeki kepada umatnya yang menjaga aurat.

3. Hubungan dengan alam
    Menjaga alam sekeliling daripada mencemarkan sebagai contohnya merosakkan bukit, pencemaran seperti jerebu. Pokok menghijau di tarah sehingga kering kontang hutan tanpa memelihara alam sekeliling.   

    Kiranya bagus juga ceramah yang diberikan oleh Ustaz Mohd Izhar malahan ada juga diselitkan cerita yang mengelikan hati apa lagi jika ianya perkaitan dengan kehidupan yang kita lalui setiap hari dan juga kehidupan semasa yang sentiasa berurusan dengan orang ramai. Apa pun ilmu yang baik kita sebarkan manakala ilmu yang tidak baik kalau boleh kita nyahkan dari kehidupan kita. Semuga kita mendapat syafaatnya. Amin
                                               



               







Tuesday, July 30, 2013

Matahari terbenam di Avillion Admiral Cove PD


Assalamualaikum,

Dok belek-belek gambar lama dalam album terjumpalah pulak masa Mesyuarat Rekod kat Port Dickson tahun 2011. Masa tu buat kat Avillion Admiral Cove, PD. Hotel dia memang kelas sungguh sebab ada tempat simpan kapal-kapal persendirian. Rupanya ia juga adalah tempat simpanan kapal-kapal persendirian bagi orang-orang kaya yang duit tak habis dah nak beli apa hah beli  kapal yang boleh digunakan menjelajahi lautan PD pulak. Dah macam kat obersea la pulak kan! Tapi memang esklusif lah tempat tersebut. Tapi yang aku suka bila part melihat matahari terbenam. Emmmmm memang tak menahan sungguh dengan panorama dia yang memang cantik sungguh. Rasa nak lepak je kat tepi pantai tu.

 
Bilik dia memang simple tapi cantik. Yang aku suka tu hah kat tepi tingkap tu. Nak kata katil macam tempat lepak je. Ni buat landing baca novel memang masyuk. Sebenarnya ianya masih boleh digunakan sebagai katil tambahan jika ada kawan nak tumpang bermalam. Walaupun ianya hanya deko sahaja tapi memang cun lah. Kebetulan ada seorang member yang kawan sebiliknya yang tak datang. Tak pasti datang lambat atau tak jadi tidur bilik member tu.Member tu takut tidur seorang jadi aku dan Kang ajak dia tidur bersama kami dan benda ala-ala katil dihujung tu jadi tempat tidur member yang menumpang bilik kami.



                              Hah ni lah marina tersebut tempat simpanan kapal-kapal persendirian.

                                              Panorama alam sewaktu matahari terbenam
Ni di kawasan kolam renang Hotel 
Kalau lah aku kaya, nak aje aku beli banglow tu buat tempat bersantai bila tension kerja sambil baca novel. Syioknya..... huhuhuhu bila lah aku nak kayoooo
Ni pemandangan dari tepi jeti
Ni pulak dari dewan makan
 Sinaran lampu turut sama menerangi alam seiring dengan sang suria mula menghilangkan diri 

Kilauan lampu menerangi jambatan di kolam renang

 Ni di waktu siang. Cantik kapal layar tu dan cantik banglow sebutir di hujung tanjung.

Ok lah sesiapa yang teragak nak bercuti sambil menikmati pemandangan tersebut hah serbu lah  ke laman web dia http://www.avillionadmiralcove.com  atau pun time berbulan madu ke bolehlah menikmati keindahan alam sambil berjalan di tepian pantai. Tenguk kat lamanweb dia lagi cun tau.

Tuesday, July 9, 2013

Selamat berpuasa



Assalamualaikum semua,

Wah hari ini merupakan hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa. Dan hari ini 10 julai 2013 dah 3 bulan aruah mak meninggalkan kami. Entah mengapa aku tak dapat bayangkan bagaimana sambutan Hariraya pada tahun ini setelah Aruah mak tiada. Sedihnya. Hanya doa pada setiap hari aku sedekahkan buat kedua aruah mak dan bapa.  Al fatihah buat kedua orang tuaku.

Lama sungguh tidak mencoretkan sejak aruah mak meninggal aku dah rasa malas nak menulis di blog. Bukannya tiada peristiwa yang berlaku didalam kehidupan seperti PRU 13 yang telah diadakan pada bulan mei yang lalu. Dek kerana mengundi aku ke Segamat mengundi disana. Malahan dapat berjumpa dengan ramai kenalan yang dah beberapa tahun aku tak jumpa semenjak menjadi warga KL ni. Lepas tu pergi jenjalan cari pasal ke rumah Bunga di Jakarta malahan pi terjah Baim Wong di restorennya. Nantilah kalau aku ada idea nak berceloteh insyaAllah aku coretkan. Ada banyak entry tertunda yang sepatutnya aku buat untuk nostalgia aku sepanjang kehidupan ni.   

Mengimbau kenangan berpuasa masih aku ingat lagi tradisi mengantar makanan ke rumah Aruah nenek serta 2 rumah mak saudara dan pak saudara yang berhampiran dengan rumah kami. Seronoknya sebab bawa 1 juadah dapat 3 jenis juadah dari mereka. Rasanya tradisi tersebut sudah tandus sejak wujudnya Pasar ramadan di setiap tempat. Malahan ianya begitu meriah sekali dengan pelbagai juadah yang kadang jarang dijumpa boleh dirasai semasa bulan puasa.

Tahun ni aku berazam tak nak pergi pasar ramadan kat tempat aku ni sebab ianya dah bertambah mahal harganya. Ada tak ada pun selalunya time kerja aku tapau makanan di cafe pejabat sebab harganya masih ok lagi dan rasanya memang sedap lagilah daripada gerai yang aku tak biasa rasa. Jadi bila balik aku hanya sempat masak nasi ja itupun kalau tak sangkut di MRR2. Dan hari minggu kenalah rajin memasak lah ya. Jangan di turutkan nafsu yang bukan-bukan. hahahaha semuga tahun ini dapat menjimatkan duit hehehehe kita tenguklah ya sebulan ni camno.

Ala lupa kalau kat johor hari ini cuti menyambut awal ramadan tapi kat kl huh kena kojo. Tapi disebabkan boyfren aku masuk sepital terpaksalah aku el hari ni. Patah kaki wei sebab BlueSawwy masuk sepital. Mudah-mudahan hari ini dia dah boleh keluar.

Sebelum terlupa aku memohon maaf buat semua jika ada kesilapan yang telah aku perlakukan. Dan Selamat menyambut Bulan Ramadan yang mulia ini semuga amalan kita semakin bertambah di bulan mulia ini. Amin

  

Tuesday, April 16, 2013

Pemergian Bonda tersayang


Assalamualaikum,

Lama sungguh tidak mencoret, bagaikan sudah hilang skil untuk menulis dalam blog lagi. Apa pun dah seminggu aku kehilangan Bonda tersayang yang telah meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 10hb April 2013 pada waktu 2.40 pagi. Semuga roh arwah mak termasuk didalam golongan orang yang beriman. Al fatihah.

Mengimbas kembali kenangan terakhir bersama Arwah mak ialah  pada raya cina dimana sebelum tu Aruah mak sakit disebabkan penangan memakan Bee Young yang di jual oleh Mak Itam.  Setelah di bawa ke rumah Kak limah masa tu aruah mak beransur pulih walaupun berjalan dah bertongkat. Kak Ambah ambil dari rumah kak Limah bawa balik Bakri. Dan pada raya Cina tu ramai adik beradik aku yang balik menjenguk Aruah mak. Kiranya masa tu Aruah mak masih boleh bercakap dan masih mengenali kami semua.

 Selepas tu selang beberapa minggu kak limah call Aruah mak demam. Kebetulan aku je yang free sebab kak Ambah ada hal lain terpaksa aku balik Bakri, sebelum balik macam-macam makanan kesukaan aruah mak aku belikan. Sampai rumah kak Limah di Tanjung Agas, aruah mak dah terbaring di bilik belakang. Masa tu dia dah tak ada selera nak makan. Hanya sesekali kak limah suapkan bubur dan bagi minum air itupun kadang Aruah mak dah tak nak makan. Malam tu Adik sekeluarga datang menjenguk. Besoknya hari Ahad Jol adik aku kat Batu Pahat dan juga Ijan datang menjenguk. Kami dah risau sebab Aruah mak dah tak nak makan. Kalau tak makan mana nak datang tenaga. Petang Ahad tu sebelum aku balik, Aruah mak sempat tanya dah belikan lampin untuk dia tak. Oleh kerana banyak lagi dan memang aku ada belikan walaupun jenama lain aku jawab banyak lagi mak. Itulah kali akhir Aruah mak bercakap dengan aku. Sebab selepas tu hari Sabtunya sakit mak bertambah teruk sehingga tak buka mata dan Kak Jal terus masukkan ke hospital Tangkak. Rupanya demam aruah mak berlarutan dan ada jangkitan kuman pula. Masa tu bila Kak Jal call je pagi Ahad tu juga aku dan Kak Ambah  terus balik Tangkak, terus ke Hospital Tangkak. Kak Jal terpaksa bawa ke Hospital Tangkak sebab mengenangkan ianya berhampiran dengan rumah dan memudahkan dia untuk menjaga mak. Start dari situ Aruah mak memang dah tak kenal kami adik beradik. Bila di panggil hanya membuka mata. Namun tiada kata-kata membalas percakapan kami. Seminggu juga aruah mak kat hospital. Keluar ja hospital Kak jal pula mengambil alih menjaga Aruah mak.

  Kali ini memang Aruah mak dah terbaring ja. Hanya bunyi suara nafas dia sahaja yang kami dengar. Malam sabtu tu selepas seminggu dah keluar wad kak Jal talipon, Aruah mak dah tak buka mata. Aku dan kak Ambah terus je balik malam sabtu tu juga. Sampai je kat rumah Kak Jal, selepas Kak lela datang menjenguk, Kak nong dan abang Ibrahim sampai bersama Ijan. Dan tak lama kemudian Kak Oyek yang kat rawang sampai. Kami terus bacakan yasin beramai-ramai. Alhamdulillah masa tu nampak Aruah mak ok sikit. Aku terus ambil El hari Isninnya. Dan hari Ahad tu semua adik beradik aku datang menjenguk. Malahan keluarga sepupu aku belah Aruah Paman Likin semua datang menjenguk. Yang dari Pasir Gudang bila dibagi tahu terus je datang. Masa tu aruah mak hanya melelapkan mata ja. Makan pun hanya bagi susu sahaja. Yang lain semuanya dah tak masuk dah.

 Isnin petang aku pun balik KL dengan hati yang gundah gulana mengenangkan Aruah mak. Kak Ambah bercadang nak cuti hari Rabu sampai Jumaat. Hari Selasa kerja tengaharinya Kak Jal call lagi memberitahu kesihatan Aruah mak semakin susut. Dia pinjam monitor BP kak Kiah dan BP aruah mak semakin menyusut. Aku dah mula risau samada nak ambil cuti ke macamana sebab ada kerja yang masih tertangguh yang terpaksa di submit hari Jumaatnya. Aduh pening kepala.

 Malamnya, Kak ijah akak aku yang sulong dah talipon sambil menangis. Aduhai aku dah mula fikir yang bukan-bukan. Kak ijah suruh aku balik cepat. Apa lagi pukul 9 tu kelam-kabut kami mengemas, kali ni Kak ambah yang drive pula. Bawa kereta malam-malam balik muor sungguh tension bila lori banyak dan laju-laju. Dalam perjalanan, Kak Ijah talipon lagi supaya terus ke Bakri sebab Kak jal dah panggil ambulan bawa Aruah mak balik ke Bakri.

 Akhirnya kami sampai dalam pukul 1 pagi, masuk je rumah, tenguk Aruah mak dah terbaring namun hembusan nafasnya sahaja yang kedengaran. Kami beramai-ramai membaca yasin. Tapi sebab malam semakin larut akak-akak aku dah kepenatan, ada yang dah terlelap.  Pukul 2 lebeh, Adik aku Jol dengar nafas Aruah mak semakin perlahan, dia cepat-cepat memanggil akak-akaknya yang dah terlelap. Apa lagi terus akak-akak aku suruh Aruah mak mengucap, manakala masa tu aku tengah membaca yasin sambil airmata berjuraian. Semasa kelam-kabut akak-akak aku suruh aruah mak mengucap, dengar Aruah mak menyebut Allah selepas tu hembusan nafas kali terakhir dan akhirnya Aruah mak menghembus nafas terakhirnya tepat pada pukul 2.40 pagi pada 10 April 2013. Al Fatihah semuga Aruah MAk diampunkan dosanya dan termasuk bersama golongan orang yang mukmin. Kami semua adik beradik redha dengan pemergiaannya setelah 1 bulan lebeh Aruah mak sakit.

 Pagi Rabu yang mendung bagaikan menangisi pemergian Aruah mak, dan pengebumian Aruah mak selesai di tanah Perkuburan Bakri pada pukul 11 lebeh. Tapi yang aku terkilan sangat dengan orang opis aku bila Maizan sms bagitahu yang ada beberapa staf nak datang melawat tapi Big bos aku tak beri. Rasanya Putrajaya ke Muar baru berapa jam sampai kalau nak datang. Macamlah muor ni jauh ulu kat ceruk kampung nun. Ya Allah sedihnya rasa hati almaklumlah aku bukan staf kesayangan jadi aku tak harap apa-apa pun dari warga pejabat aku. Tapi dalam hati aku hanya berdoa tak apa lah ni masa aku, kalau masa big boss aku hanya Allah jua yang membalasnya.

 Pemergian Aruah mak membuatkan aku dah jadi anak yatim piatu.  Ya Allah berilah aku kekuatan dan kesabaran menghadapi hari-hari mendatang, semuga aku tetap tabah menghadapi ujian mu Ya Allah.
Al fatihah, semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Aruah mak dan semuga aruah mak termasuk didalam golongan orang yang mukmin. Al fatihah.