Thursday, February 24, 2011

Kecemerlangan Hospital Awam

                                    HOSPITAL kerajaan adalah permata dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

KEMUDAHAN penjagaan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik berikutan peruntukan yang besar oleh kerajaan, tetapi masih ramai yang lebih gemar mendapatkan khidmat kesihatan di hospital swasta.
Menurut pengamal perubatan Dr. Y. Foong, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat memilih rawatan di klinik atau hospital kesihatan swasta.

"Ada orang tidak suka tempoh menunggu yang agak lama di hospital awam. Mungkin, ada juga yang kurang berpuas hati dengan rawatan yang diberikan. Kadangkala, mereka mahu pendapat kedua tentang masalah yang mereka hadapi," kata Dr. Foong.
Peniaga Abdul Rahman Bakar yang lebih gemar mendapatkan rawatan di hospital swasta berkata: "Di hospital swasta, saya mendapat rawatan lebih cepat dan saya boleh pilih pakar yang saya mahu," kata beliau. Pakar teknologi maklumat Steven Lim bersetuju dengan pendapat Abdul Rahman.

Katanya, rawatan di hospital swasta dapat diberikan dengan cepat sementara konsultasi dan temu janji diadakan pada waktu yang sesuai bagi pesakit.

"Keluarga dan rakan dapat melawat tanpa banyak halangan," katanya. Hari ini, ramai yang gemar ke hospital swasta kerana majikan menyediakan insurans penjagaan kesihatan sebagai salah satu kemudahan di tempat kerja.

Terdapat pelbagai perlindungan insurans kesihatan, daripada pelan keluarga hinggalah kepada pakej perlindungan pakar.

Polisi insurans

"Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang yang mendapat perlindungan insurans ialah menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui perlindungan perubatan yang diberikan bagi sesuatu khidmat rawatan itu.

"Mereka juga perlu mengetahui sama ada perlindungan tersebut meliputi konsultasi dan ujian bagi pesakit luar," kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur. Beliau turut mengingatkan kebanyakan polisi insurans kesihatan tidak meliputi masalah kesihatan yang sedia ada serta penyakit kronik yang tidak boleh sembuh.
TEMPOH menunggu yang agak lama di hospital awam antara sebab ramai yang memilih mendapatkan rawatan di hospital swasta.

"Lebih baik anda menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui rawatan dan perlindungan kesihatan yang diberikan," kata Fatimah.


"Mahal lah," kata peruncit K. K. Wong yang mahu dikenali sebagai Kay, ketika ditanya sama ada beliau memilih hospital swasta atau pusat kesihatan awam.

Menurut Kay, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk menyedia dan meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan awam di negara ini.

"Kerajaan membelanjakan wang yang banyak dari segi penjagaan kesihatan untuk orang ramai. Sudah tentu jika anda mencari kemewahan seperti bilik yang dilengkapi televisyen, ia tidak ada di hospital kerajaan.

"Hospital adalah tempat untuk mendapatkan rawatan, jika anda nak tengok televisyen lebih baik duduk di rumah sahaja," kata beliau.

Kata Kay, orang ramai perlu sabar dengan masa menunggu dan rawatan di hospital awam.

"Terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk konsultasi, mendapatkan ubat dan masuk wad adalah perkara biasa. Apatah lagi bayaran yang dikenakan amat murah," tambah Kay.

Seorang doktor yang sudah bersara, M. Anthony berkata, bekerja di hospital kerajaan merupakan sesuatu yang beliau banggakan.

"Semasa zaman kolonial tahun-tahun selepas merdeka, kemudahan dan infrastruktur kesihatan awam memang tidak mencukupi serta ketinggalan. Tetapi kini, semua kelengkapan di hospital kerajaan di negara ini bertaraf dunia," kata Anthony yang merupakan graduan perubatan dari universiti di Ireland pada tahun 1950-an.

RAWATAN di hospital swasta yang lebih cepat menyebabkan ia menjadi pilihan kepada yang berkemampuan

Kata Anthony, hospital kerajaan adalah permata dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Institusi kesihatan itu mudah menerima reputasi yang tidak baik tetapi sebenarnya merupakan model atau contoh bagi kecemerlangan di bidang klinikal.

"Hospital ini masih merupakan institusi yang dituju pesakit bila mereka memerlukan rawatan," kata beliau.

Katanya, masalah utama ialah kekurangan petugas di hospital awam.

"Sepatutnya bilangan jururawat, doktor, ahli fisioterapi dan petugas perubatan lain mencukupi, tetapi bilangan pesakit yang mahukan rawatan terlampau ramai. Ini menunjukkan masih ramai yang mahukan perkhidmatan di hospital kerajaan", kata beliau.

Apabila jumlah pesakit yang mahukan rawatan di hospital awam menjadi terlalu ramai jika dibandingkan dengan petugas yang berkhidmat, sudah tentu beban tugas menjadi lebih berat, tambah beliau.

Rawatan percuma

Pendidik V. Vasugi mempunyai pendapat tersendiri: "Hospital awam tetap ada untuk kita semua. Ini sebabnya kita perlu menghargai mereka. Mereka memberikan khidmat yang cemerlang dan ini kita patut bangga", kata beliau.

Kerajaan juga menyediakan rawatan percuma di hospital bagi penjawat awam dan keluarga mereka. Atas alasan itulah, masih ramai yang memerlukan perkhidmatan di hospital awam.

"Kerajaan memberikan perkhidmatan rawatan percuma bagi kakitangan awam dan keluarga mereka. Ini jarang berlaku di negara lain," kata Ahmad Kassim, yang bersara daripada perkhidmatan diplomatik Malaysia.

Baru-baru ini juga, penulis menerima rawatan di wad ortopedik di sebuah pusat perubatan awam di Kuala Lumpur.

Jururawat, doktor dan atendan di wad itu menjalankan tugas mereka secara profesional dan penuh dedikasi.

Contohnya, bila loceng bantuan dibunyikan oleh pesakit, kurang beberapa saat jururawat muncul untuk memberikan bantuan yang diperlukan pesakit.

Para pegawai perubatan menjalankan tugas mereka di wad itu secara bergilir-gilir hampir 24 jam sehari.

Bagi penulis, kecemerlangan dan profesionalisme tetap wujud di hospital awam yang merupakan permata dalam sistem kesihatan di Malaysia. - Bernama



Kredit to Kosmo online

 
 
Komen aku:- Sebagai kakitangan kementerian kesihatan malaysia aku tetap berbangga berkhidmat dalam kementerian tersebut. Nak ikut kan perkhimatan kesihatan sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan zaman dahulu apa lagi dengan perkembangan IT yang semakin berkembang, bahagian perkhidmatan kesihatan juga semakin berkembang. Memang lah masih banyak lagi komen-komen dari orang awam mengenai perkhidmatan yang tidak memuaskan hati apa lagi untuk mendapatkan perkhimatan pesakit luar. Jenuh nak menunggu di OPD hanya kerana nak jumpa Doktor.   Tak payah cakap orang luar lah aku yang staff KKM masa check up di kelinik Kesihatan Putrajaya pun kalau datang pagi sampai tengahari baru siap. Nak buat macamana kan kakitangan tak ramai tapi kedatangan pesakit semakin tahun semakin bertambah. Belum lagi masuk pesakit warga asing. Malahan hutang tertunggak warga asing terutamanya orang indonesia hish banyak juga tu beb. Nak tau berapa banyak emm ni kena rujuk bahagian kewangan le. Office aku yang hanya kumpul data kesihatan boleh nampak lah peningkatan pesakit samada dari pesakit luar atau pun pesakit dalam dari setahun ke setahun. Takdenya yang makin berkurangan malahan semakin bertambah. Kalau pesakit luar je tahun lepas hampir 42 juta orang mendapatkan rawatan. Ini bermakna walaupun kadang perkhimatan tidak memuaskan hati tapi masih terdapat hospital yang memberikan perkhimatan yang lebeh baik. Mereka tidak tahu bagaimana kakitangan kesihatan yang bergelut dengan orang awam untuk memberi perkhimatan yang lebeh baik dan juga bergelut dengan masalah dalaman tempat mereka berkerja. Sebagai contohnya berbagai sistem di wujudkan seperti ISO lah Akreditasi lah. Hah bayangkan staff hospital yang hanya biasa kerjanya merawat pesakit kena pulak buat kerja admin seperti itu. Huh boleh berasap juga lah kepala masing-masing nak menyiapkan fail-fail kerja lah fail ISO lah fail Akreditasi lah. Walau bagaimana pun kerajaan masih memberi penekanan yang utama bagi memberikan perkhidmatan  kesihatan yang tip top kepada rakyatnya.

No comments:

Post a Comment